Nuffnang Ads

Wednesday 12 December 2012

Rezeki & Dugaan

Rezeki dan dugaan di datangkan Allah dalam pelbagai bentuk. Untuk menguji hamba-hambaNya, dan selagi dugaan itu datang, itu tandanya kita masih mendapat kasih sayang Allah. Hmmm.... tujuan aku nak menulis entry ni, sebab..... sejak kebelakangan ni, terlalu banyak perkara yang menduga aku, menaikkan tekanan darah aku.

Selagi aku boleh terima, aku terima, manusia yang sentiasa iri hati dengan aku, sentiasa mencari kesalahan aku. Pendek kata, walau apa pon yang aku buat, akan di cari salah dan silap. Dan dengan keadaan kesihatan yang tak berapa nak cemerlang bulan ni, bertambah-tambah presurre yang diberikan.

Tapi aku bersyukur, kerana rezeki yang Allah datangkan pada aku, bukan dalam bentuk wang ringgit. Ya, aku sentiasa kesempitan wang, kerana setiap kali aku dialisis, gaji akan dipotong. Baki gaji yang tinggal hanya cukup untuk buat belanja rawatan dialisis. Tapi Allah mendatangkan rezeki yang paling membahagiakan aku, Suami aku. Suami yang sedia menerima diri ini seaadanya.

Dan aku juga mendapat seorang doktor yang memahami, mendahulukan tempat untuk aku mendapatkan rawatan dialisis di hospital kerajaan. Jadi, tidak lah semahal mendapatkan rawatan dialisis di pusat dialisis swasta. Tapi, masih, kos keperluan untuk mendapatkan rawatan membuatkan aku dan suami terpaksa berdikit-dikit. Mungkin, belum rezeki kami untuk hidup senang. Tapi aku bahagia, kerana suami sentiasa di sisi.

Walaupon aku di tekan dalam pelbagai cara, aku bersyukur, aku masih mempunyai keluarga yang sentiasa menyayangi dan menyokong aku. Aku mempunyai kawan-kawan yang sentiasa mengambil berat. Tidak juga aku lupa, Allah juga telah memberikan aku seorang Puteri Syurga yang akan menunggu aku di sana. Ibu rindu Arissa sayang......

Suami aku, sentiasa mengambil berat setiap kebajikan diri aku. Kami tidak mewah, kami tidak senang, tapi kami bahagia. AKU BAHAGIA. Kerana dikurniakan Allah lelaki yang sebaik Suamiku.

Dulu, apabila aku diberitahu, aku mengidap peenyakit kronik, aku tidak berharap langsung akan berumah tangga. Sedar diri, siapalah yang akan menerima manusia sakit seperti aku. Tapi ajal, maut, jodoh semua di tangan Allah. Semua telah ditetapkan. Aku bersyukur.

Dulu, apabila aku menerima rawatan kimoterapi untuk jangkamasa 3 tahun, doktor menerangkan kemungkinan aku tidak boleh mengandung. Tapi siapa sangka, dengan penyakit kronik SLE, aku berupaya mengandung, tapi dengan risiko yang sangat banyak yang terpaksa aku terima.

Ya, aku dianiaya di sini, tetapi rezeki yang Allah datangkan pada aku, sentiasa ada. Insya Allah.


No comments :

Post a Comment